Umat Islam Malaysia baru-baru ini dikejutkan dengan pemeriksaan
Jabatan Agama Islam Selangor ke atas Gereja Methodist Damansara Utama
(DUMC) kerana disyaki terdapat unsur penyebaran agama lain terhadap umat
Islam. Pelbagai reaksi tercetus di kalangan masyarakat. Di antara yang
paling mengharukan ialah terdapatnya sesetengah pihak mengambil
kesempatan 'menangguk di air yang keruh'. Hangat seluruh negara bahawa
usaha memurtadkan umat Islam semakin tersebar. Semakin membarahkan lagi
ialah tersebarnya al-Kitab iaitu Bible versi bahasa Melayu yang
menggunakan kalimah Allah sebagai ganti nama kepada God bagi
Kristian. Reaksi beberapa ahli politik juga amatlah menjengkelkan
seolah-olah betapa kurangnya pengetahuan mereka tentang isu ini.
Namun begitu benarkah Kristian adalah ancaman sebenar kepada umat
Islam? Jika benar, mengapa ada antara kita yang mudah terpengaruh dengan
dakyah mereka? Jika benar, adakah kita benar-benar kenal akan musuh
kita? Bagaimana kita mahu berdepan dengan sesuatu yang dianggap musush
sekiranya kita tidak mengenalinya dengan terperinci? Persoalan ini
mungkin akan menambahkan lagi kekusutan atau pun persoalan ini akan
memberi kita jalan pencerahan. Memahami makna sebenar tentang apa
sebenarnya yang berlaku.
Benarkah berlakunya pertembungan Kristian-Islam?
Sejarah Islam dan Kristian berlaku merentas sejarah yang amat
panjang. Malah bibit-bibit pertentangan di antara keduanya berlaku sejak
sebelum lahir utusan akhir zaman iaitu Rasullah S.A.W yang membawa
kebenaran mutlak dan membatalkan syariat sebelum ini iaitu Islam.
Pertembungan klasik ini amatlah unik kerana ia berlaku sebelum lahirnya
sesuatu yang di anggap musuhnya. Syed Muhammad Naquib Al-Attas sudah
lama mengingatkan umat Islam tentang dilema yang akan di hadapi umat
Islam. Kini risalah-risalah beliau menjadi amat releven untuk ditelaah
kembali oleh umat Islam. Apa yang diketengahkan beliau di dalam
buku-bukunya dan bahan ilmiahnya menjadi sangat releven masa kini.
Beliau banyak mencatatkan bukti dan hujah ilmiah yang banyak di dalam
karya-karya beliau mengenai sejarah pertembungan Kristian-Islam. Beliau
sebenarnya telah membongkarkan bahawa musuh utama Islam bukanlah
Kristian kerana kerana agama asal yang di bawa oleh Nabi Isa A.S telah
lama dirubah mengikut nafsu tamadun barat.
Beliau menulis di dalam bukunya Risalah Untuk Kaum Muslimin. Beliau
mengingatkan kepada Kaum Muslimin bahawa kita akan sentiasa
berkonfrantasi atau bertentangan muka dengan kebudayaan barat. Beliau
benar-benar mahu kaum Muslimin kenal dengan sebenar-benarnya musuh kaum
Muslimin bahawa musuh kita yang sebenarnya adalah Kebudayaan Barat.
Setelah satu-satu agama yang di tanzilkan Allah SWT di selewengkan.
Sasaran yang yang tinggal kini ialah Islam. Usaha Kristianisasi adalah
salah satu usaha yang dibelakangnya sebenarnya mempunyai agenda yang
lebih besar. Perkara ini mungkin tidak difahami dengan baik jika kita
malas mengkaji dan membelakangkan kepentingan sejarah.
Peranan Nabi Isa AS
Syed Naquib Al-Attas sekali lagi mengingatkan kita bahawa kaum
Muslimin perlu Insaf dan mengetahui bahawa Kristian yang selama ini kita
anggap sebgai agama wahyu yang diturunkan bahawa sebenarnya ia bukanlah
agama yang semata-mata berdasarkan wahyu. Bahkan tujuan asal Nabi Isa
A.S adalah untuk memperbetulkan penyelewengan yang berlaku di dalam
agama Yahudi sebelum itu. Menurut beliau lagi, selain itu juga Nabi Isa
A.S ditugaskan untuk memberi tahu kepada kaumnya bahawa di akhir zaman
nanti akan lahir suatu 'Kebenaran Mutlak' iaitu Islam dan kedatangan
nabi terakhir iaitu Nabi Muhamad S.A.W. Namun begitu oleh kerana
dorongan hawa nafsu, mereka terdorong menjadi taksub sehingga
memperdewakan Nabi Isa A.S sedangkan mereka sudah diberitahu tentang
perkhabaran yang baik iaitu kedatangan Nabi Muhamad S.A.W. Tugas Nabi
Isa A.S antara lainnya ialah untuk menyediakan mereka kaum Bani Israel
untuk syariat Nabi Muhamad SAW. Namun begitu oleh kerana ketamakkan dan
kerasukkan, mereka sanggup mengubah dasar asal ajaran Nabi Isa AS
menjadi agama yang seakan-akan agama yang akan di bawa oleh utusan akhir
zaman nanti. Lalu lahirlah apa yang digelarkan oleh mereka sebagai
'Kristian'. Tujuan mereka sebenarnya adalah untuk menyangkal kedatangan
agama Islam itu nanti. Kelicikan mereka untuk menggagalkan Islam
terserlah melalui kaedah mendahului kezahiran Islam dan meniru sifatnya
serta memasukkan ke dalam ajaran Kristian yang kemudiannya didakawa
bahawa ajaran itu dibawa oleh Nabi Isa A.S.
Hakikat betapa kenalnya ahli kitab kepada Rasullah SAW telah dijelaskan di dalam Al-Quran.
"Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami beri al-Kitab
(Taurat dan Injil) mengenal Muhammad seperti mereka mengenal
anak-anaknya sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian di antara mereka
menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui." ( Surah Al-Baqarah 2: Ayat 146)
Setelah diketahui sifat Islam dan menzahirkan sifat Islam dengan
mendahului Islam. Syed Naquib Al-Attas sekali menjelaskan tujuan mereka
mendahului Islam tidak lain ialah Guru Agung Insan (Nabi Muhamad S.A.W)
yang dikhabarkan oleh NAbi Isa A.S di dalam Injil ialah untuk menafikan
kedatangan Nabi Muhamad SAW nanti. Malahan mereka menganggapp Guru agung
Insan itu ialah Nabi Isa A.S sendiri yang akan turun pada akhir zaman
nanti. Melalui cara ini mereka menafikan kedatangan Islam dan menanggap '
tiada perlu lagi'. Inilah pendustaan yang sangat besar bagi umat
manusia.
Perancangan licik mereka meniru sifat dan mendahului zahir Islam
telah menyebabkan sifat dakwah yang ada pada Islam menyebabkan Kristian
juga mempunyai sifat begitu. Syed Naquib Al-Attas sekali lagi
menjelaskan kepada kita bahawa sebelum Islam, sifat agama dunia adalah
tidakmempunyai ciri dakwah. Agama Yahudi adalah untuk kaumnya sendiri,
Agama Farsi kuno juga hanya untuk kaum Farsi. Agama Buddha dan Hindu
tidak pernah keluar daripada benua Asia ketika itu. Oleh kerana mereka
iaitu penganut ajaran Kristian melihat bahawa ciri dakwah ini dapat
memenuhi serakah nafsu mereka untuk menguasai politik dunia. Maka mereka
menggunakan alasan agama untuk berkembang kepelusuk dunia. Sedangkan
sifat dakwah ini didalam Islam adalah untuk menyebarkan rahmat ke
seluruh alam. Bukan penguasaan dan penindasan.
Allah berfirman: "Tidaklah Kami mengutus engkau kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam." (Surah Al-Anbiya 21: Ayat 107)
Kristian masuki eropah.
Kristian terus berkembang. Kristian memasuki Eropah sejak awal masehi
lagi iaitu ketika era Greco-Roman. Oleh kerana gagalnya Kristian dalam
isu akidah yang penuh kesangsian dan penuh dogma. Akhirnya Kristian
telah dicampur-adukkan dengan budaya dan kepercayaan kuno Yunani, Rom,
Mesir dan kaum gasar. Perkara ini terjadi kerana kaum eropah itu telah
mewarisi budaya yang dipupuk daripada bangsa-bangsa Yunani Kuno dan
campuran Kebudayaan Rom. Sekali lagi Kristian telah berubah daripada
asalnya. Kini Kristian telah dipengaruhi budaya barat yang begitu
dominan. Akhirnya tamadun Barat sekali lagi telah mengubah Kristian
daripada yang tafsiran aslinya. Malah Kristian adalah satu-satunya agama
yang telah berubah pusat asal kelahiran agamanya. Di dalam buku
Risalah Untuk Kaum Muslimin ini lagi, Syed Naquib Al-Attas telah
menggariskan beberapa sifat asasi tamadun barat.
1. Asas kebudayaan barat adalah hasil warisan yang dipupuk
daripada Kebudayaan Yunani Kuno dan tercampur dengan Kebudayaan Rom
serta unsur-unsur lain lain hasil daripada cita rasa dan gerak daya
bangsa eropah sendiri seperti suku bangsa Jerman, Inggeris dan Perancis.
2. Kebudayaan Yunani Kuno meletakkan dasar-dasar falsafah dan
kenegaraan serta pendidikan juga kesenian. Kebudayaan Rumawi Kuno pula
telah merumuskan dasar-dasar dan hukum ketatanegaraan.
3. Kebudayaan Barat bukanlah berasaskan agama tetapi adalah berasaskan dasar falsafah.
Menurut beliau lagi.
" Meskipun ajaran Kristian mencuba sedaya usaha menitik beratkan
masalah keyakinan kepada tuhan , akhirat dan akidah asasi, namun cinta
melulu mereka kepada kekuasaan dunia memaksa ajaran itu mengendahkan dan
melayani bisik-bujukan hasrat duniawi jua dan ke dalam sejara
perkembangannya di eropah. Sejak zaman Konstantin terus hingga ke zaman
sesudah terbitnya Islam, ketua-ketua Gereja Kristian senantiasa berusaha
untuk untuk merebut kekuasaan duniawi sambil meniru-niru cara hidup
serta adat-istiadat keagungan raja-raja dan sistem feudalnya "
Hakikat menujukkan bahawa Kristian terlarut dalam kebudayaan barat
apabila ajaran yang berasal daripada Asia Barat ini memasuki Eropah. Ini
adalah kerana asasnya tidak kukuh, ditukar ganti, ditiru dan penuh
dogma. Kesangsian pada ajaran ini menyebakan jati dirinya begitu rapuh
dan mudah terlarut dengan kebudayaan barat yang akhirnya budaya baratlah
yang telah mempengaruhi dan mengubah sifat dan susuk ajaran ini. Tidak
keterlaluan dikatakan bahawa terlalu banyak bida'ah didalam ajaran ini
sehingga ia sesat dan hanya menjadi alat untuk mengaut keuntungan
duniawi.
Mula Tamadun Barat Menetang Gereja.
Keadaan sangat berbeza dengan Islam apabila masuk ke benua eropah.
Dengan disiplin ilmu yang tinggi. Kefahaman akidah yang tidak tersangsi.
Akhirnya Islam telah mencerahkah dunia Eropah dengan dunia Ilmu dan
penemuan sains teknologi. Islam di Andalusia begitu kukuh dan menjadi
sumber ilmu bagi dunia yang akhirnya melahirkan dunia moden seperti hari
ini. Islam masuk ke Eropah dengan jati diri yang kukuh. Islam tidak
terlarut dengan tamadun barat ketika itu. Malah Islam menjadi kuasa
agung dunia berasaskan Ilmu. Ini berbeza dengan ajaran Kristian,
menurut Syed Naquib Al-Attas lagi .
"Oleh kerana ajaran-ajaran akidahnya agama Kristian itu sendiri
lemah dan kabur serta penuh dengan kesangsian, maka unsur-unsur
keyakinan dan akidah mengenai hal-hal ruhaniah agama menjadi semakin
lemah merosot. Apatah lagi apabila ilmu pengetahuan sains dan lain-lain
unsur akliah yang dibawa masuk oleh Islam mula merangkum merajalelai
jiwa dan fikiran Barat. Akhirnya budaya Barat sendiri menggunakan
hujah-hujah ilmu pengetahuan bagi menafikan ajaran-ajaran karut Kristian
."
Akhirnya barat melalui pengalaman yang memeritkan dengan ajaran
Kristian. Gereja mula menguasai dan mengawal segala aspek kehidupan
masyarakat barat. Ketika itulah Eropah melalui zaman gelap. Contoh
mudah yang diketahui manusia seluruh dunia ialah bagaimana seseorang
dihukum bunuh oleh gereja Katolik hanya kerana berjaya membuktikan
kebenaran. Galileo Galilei (1564-1642), orang yang pertama mencipta
teleskop dan berjaya membuktikan teori bahawa bumi mengelilingi
Matahari. Gereja telah menghukum mati beliau kerana bukti saintifik ini
adalah berbeza dengan pegangan gereja ketika itu. Penguasa gereja
Katolik pada saat itu tidak suka dengan pandangan kosmologi heliocentric (berpusat
pada matahari) yang diperkenalkan Copernicus. Gereja lebih percaya pada
pandangan yang diwariskan oleh ahli falsafah besar Yunani Aristoteles
yang melihat bumi sebagai pusat semesta (geocentric).
Cengkaman gereja yang mendokong dogma akhir mencetuskan protes dalam
ajaran Kristian. Menjelang abad ke 16, gerakan reformasi ajaran Kristian
di pelopori oleh Martin Luther dan Huldrych Zwingli. Akhirnya
sekularisasi pun terjadi. Dalam sejarah Kristian Eropah, kata sekular
dan liberal dimaknai sebagai pembebasan masyarakat dari cengkeraman
kekuasaan Gereja yang sangat kuat dan hegemoni pada zaman pertengahan.
Proses berikutnya bukan saja dalam bidang sosial-politik, tetapi juga
menyangkut metodologi pemahaman keagamaan, liberal dalam dunia Kristian.
Ini semua menunjukkan pengalaman buruk Tamadun Barat dengan Agama.
Ajaran Kristian Kini
Ajaran Kristian masa kini bukanlah lagi hasil darupada wahyu Allah.
Ataupun tanzil daripada Allah. Oleh yang demikian, tidak wajar juga kita
meletakkan kelas ajaran Kristian adalah agama samawi. Yahudi juga
begitu. Ajaran mereka semuanya telah diubahsuai mengikut hawa nafsu
mereka. Oleh yang demikian musuh sebenar umat Islam bukanlah Kristian
itu sendiri. Kerana di belakang tabir Kristianisasi itu adalah
tangan-tangan mereka yang mahu manusia meninggalkan agama. Hujah-hujah
diatas adalah hujah yang akan dibenarkan oleh penganut Kristian. Sebagai
contoh asas konsep Trinity/Tritunggal itu sendiri. Konsep ini
hanya disahkan sebagai akidah rasmi selepas tiga abad kelahiran Nabi Isa
A.S di dalam persidangan Nicea (325CE). Apatah lagi jika mahu
membincangkan tentang santa claus dan pokok Krismas. Tidak ada satu pun yang berasal daripada ajaran Kristian.
Islam akan sentiasa menghadapi kebudayaan barat
Syed Naquib Al-Attas mahu kita bersungguh-sungguh faham, tahu dan
insaf bahawa cabaran kita masa kini adalah budaya barat. Meskipun
Kristian adalah agama yang dianuti barat. Tetapi sebenarnya Kristian itu
sendiri sudah tercerna didalamnya unsur-unsur budaya barat yang kukuh.
Simbiosis yang begitu murni ini telah mengkaburkan kita antara ancaman
budaya barat dan Kristinisasi. Mengapa budaya barat adalah ancaman yang
lebih besar. Tidak lain tidak bukan ialah kerana kesannya adalah lebih
menyeluruh. Bukan sahaja kepada Islam. Tetapi juga Kristian telah
menerima nasib yang sangat malang. Ajarannya telah dirubah hampir
seratus peratus. Malah akidah asasnya juga begitu rapuh dan tidak boleh
dipegang manusia.
"Kaum Muslimin harus insaf bahawa Islam itu senantiasa dalam
keadaaan berkonfrantasi atau bertentangan muka dengan kebudayaan barat" – Syed Naquib Al-Attas.
Pengalaman Barat Dengan Agama Bukan Masalah Kepada Islam
Barat sentiasa berasa curiga dengan agama. Sehingga ada ahli falsafah
mereka telah mengistiharkan "Tuhan Telah Mati". Pengistiharan Friedrick
Nietsche menambah keliruan dan membuktikan kekalutan serta kepincangan
sistem akidah budaya Barat. Oleh yang demikian, terdengar suara-suara
sumbang yang diperkatakan ke dalam dunia Islam. Seandainya muslim mahu
maju seperti kami. Perhatikan dan awasi agamamu. Namun malangnya ada
juga umat Islam yang terpersona dengan kata-kata itu. Malah yakin dengan
dunia pasca moden yang lebih bebas dan liberal. Sedang umat Islam tidak
sedar bahawa mereka mula ditenggelami dengan budaya Barat. Bukanlah
bebas sebenarnya melainkan terikut dan terperangkap dalam budaya barat
yan dimetaforakan sebagai lambang kemajuan. Akhirnya agenda memisahkan
agama daripada kehidupan menjadi semakin berjaya. Pengalaman beragama
yang dilalui budaya Barat bukanlah sama buruknya dengan pengalaman umat
Islam. Sejarah membuktikan dengan Islam menjulang tinggi keunggulan
budaya Ilmu yang tidak dinikmati budaya barat satu masa dahulu dibawah
cengkaman Gereja. Islam hadir membebaskan manusia dalam erti hamba yang
bertuhankan Allah Yang Maha Esa. Islam mengangkat tinggi keupayaan akal
manusia didalammembuktikan kebenaran. Malahan Islam menolak dan
menjelaskan dogma dan kekaburan. Sebab itulah masalah budaya barat
dahulu adalah tidak relevan dengan Islam. Sebagai contoh reformasi
beragama. Isu ini tidak relevan. Reformasi beragama akhirnya
menatijahkan Islam yang Liberal dan Pluralisma beragama. Inilah yang
dilakukan oleh puak reformis ajaran Kristian dahulu. Ini kerana teks
asli rujukan umat Islam tidak pernah berubah sejah 1400 tahun dahulu.
Malah Al-Quran sebagai mukjizat Agung Rasullah S.A.W dijamin keasliannya
oleh Allah S.W.T sehingga hari kiamat.
"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya". (Surah Al-Hijr 15: Ayat 9)
Bukti Mukjizat Al-Quran ialah kandungannya yang sentiasa relevan
dengan suasana semasa. Oleh yang demikian, AL-Quran langsung tidak
terjejas dengan usaha sesetengah pihak yang mahu Al-Quran ditafsir
semula melalui secara Hermenutika.
Ilmu memperkukuhkan Akidah
Umat Islam wajar memperkukuhkan kembali ilmu mengenai Islam. Yang
paling penting ialah umat Islam perlu kenal dan faham pandangan hidup
Islam. Pada Masa yang sama kita wajar mengenali dengan sebenarnya
musuh-musuh dan saingan kita. Apabila kita benar kepada musuh kita.
Dengan Izin Allah keimanan kita akan meningkat dan akan melihat bahawa
tidak benarnya agama-agama lain. Betapa longgarnya asas-asas agama yang
lain. Bukan kesalahan moral untuk kita menidakkan kebenaran agama lain.
Jika kita berkelakuan begitu. Kita adalah zalim kerana menidakkan
kebenaran bahkan mungkin kita ini terlalu bebal dan jahil yang
bersangatan. Kita wajar menghormati anutan agama lain. Namun bukanlah
sehingga kita menggadai maruah dan meletakkan muka kita di bawah tapak
kaki penganut agama lain. Kita wajar hormat. Hormat bukan bererti kita
melonggarkan segala ikatan agama Islam. Jika kita memimpin, usah
berkelakuan jelik sehingga menimbulkan kekeliruan umat Islam. Kita
harusi insaf bahawa musuh Islam sentiasa mencari jalan bagaimana mahu
memisahkan umat Islam daripada agama Islam. Berjaya memurtadkan umat
Islam adalah satu bonus bagi mereka. Membuatkan umat Islam keliru
sehingga menganut fahaman Liberal dan Plural sudah mencukupi untuk
mereka. Sasaran mereka tidak lain ialah sekurang-kurangnya umat Islam
sekular daripada aspek pemikiran mereka.
Rujukan dan Bibiliografi. Al-Quran dan Tafsir Prof Syed Muhamad
Naquib Al-Attas , Risalah Untuk Kaum Muslimin Dr Mohd Farid Bin Mohd
Shahran, Isu-Isu dalam Pemikiran Islam(Kuala Lumpur, ABIM ,2008)
Muhamad Hilmi Bin Ramli , Memahami Falsafah Barat dan Menguasai Tradisi
Islam.(Kuala Lumpur. Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM) dan Curiosity
Institute (CI) Richard Elliot Friedman , The Disapperearance of God
(USA : Little , Brown and Company) http://islamlib.com/
http://alfredoelectroboy.wordpress.com/2010/04/23/sejarah-santa-claus-2/
http://hotarticle.hadithuna.com/2008/09/01/sejarah-tritunggal/
http://www.dunia-unik.com/2010/04/galileo-galilei-tokoh-dunia-yang.html
http://en.wikipedia.org/wiki/Religion_in_Europe
http://courses.science.fau.edu/~rjordan/bios/Galileo/Galileo_bio.htm
http://en.wikipedia.org/wiki/Jesus
http://ms.wikipedia.org/wiki/Tritunggal
http://www.churchhistory.org/churchhistory.html
http://searchforbibletruths.blogspot.com/2011/05/trinity-and-pagan-influence.html
No comments:
Post a Comment